Thursday, October 15, 2009

Antara beberapa gambar lobster yang sedang bertelur.......diambil pada 1 Oktober 2009









Persenyawaan Lobster

Daripada pemerhatian yang dijalankan, persenyawaan lobster berlaku pada waktu malam. Sebelum bermulanya proses persenyawaan tersebut, lobster jantan kelihatan sangat aktif berlegar-legar di dalam akuarium untuk mendekati dan berkejaran-kejaran dengan lobster betina. Ada ketikanya lobster jantan ini akan mengusir lobster jantan yang lain yang cuba mendekati lobster betina pasangannya.

Sebaik sahaja bertemu dengan pasangannya, lobster ini "bercumbu-cumbuan" sebagai tanda bermulanya persenyawaan. Lobster jantan "memeluk" lobster betina dan merebahkan badan ke lantai akuarium di mana lobster jantan berada di atas lobster betina. Kadangkala juga lobster jantan akan berada di bawah lobster betina.

Melalui alat kelaminnya, lobster jantan akan memancutkan spermanya yang berwarna putih pekat, ke arah alat kelamin lobster betina.

Pada kebiasaannya, persenyawaan ini mengambil masa selama setengah hingga satu jam dan berlangsung beberapa kali sehingga sempurna.

Sebaik sahaja persenyawaan selesai, lobster betina akan kelihatan tidak bermaya dengan kedudukan badan direbahkan ke arah kanan atau kiri permukaan akuarium. Saat ini pula ada cecair putih pekat melekat di bahagian bawah badan lobster betina (lihat gambar di bawah) .Pada masa yang sama juga lobster betina telah mula melipatkan ekornya ke arah abdomennya.


Perkara yang harus diperhatikan sebelum/selepas proses persenyawaan:

1. Suhu air yang sesuai, iaituantara 23-29 darjah celcius dengan keamatan cahaya yang tidak begitu terang.

2. Ketika berlakunya proses persenyawaan, sebaiknya hindarkan suasana bising atau melihat-lihat perlakuan lobster secarakerap atau terlalu dekat.

3. Lobster betina tidak semudahnya menerima kehadiran lobster jantan yang hendak melakukan persenyawaan dengannya. Lobster yang mempunyai kedua-dua belah sepit adalah lebih mudah diterima oleh lobster betina berbanding lobster jantan yang kehilangan sebelah sepit.

4. Berbeza pula dengan lobster betina yang hanya mempunyai sebelah sepit, di mana ia mudah diterima oleh lobster jantan berbanding dengan lobster betina yang mempunyai kedua-dua belah sepit.

Tuesday, September 29, 2009

Video Lobster Ganti Kulit

Rakaman ini dibuat sekitar jam 10.45 malam, 28 September 2009. Lobster ini telah kehilangan sepit sebelah kanan ketika berganti kulit dahulu akibat diserang oleh lobsterp-obster yang lain. Masa tu tak tahu lagi tanda-tanda lobster hendak tukar kulit. Setelah beberapa kali membuat pemerhatian, inilah kejadian tukar kulit dapat dirakam kerana telah boleh dijangkakan bila kejadian tukar kulit ini akan berlaku melalui tanda-tanda awal seperti yang diterangkan dalam artikel ini.


Wednesday, September 23, 2009

Penggantian Kulit (Moulting)


Penggantian kulit (moulting) merupakan satu proses menukar kulit yang lama dengan menggantikan kulit yang baru bertujuan untuk tumbesaran.


Kenapa Berlakunya Moulting?


Memandangkan kulit yang menyelaputi tubuh lobster air tawar keras dan tidak bersifat elastic, adalah wajar kulit-kulit ini digantikan dengan kulit yang baru agar tumbesaran lobster dapat dan terus berlaku.

Di samping itu, penggantian kulit juga dapat menggantikan bahagian tubuh lobster yang telah rosak atau patah seperti sepit dan kaki.

Bila Berlakunya Moulting?

Lobster air tawar yang muda mengalami moulting yang kerap berbanding dengan lobster dewasa. Proses moulting terjadi ketika lobster berumur 1-2 minggu dan berlaku sebelum lobster muda ini menjadi lobster dewasa (ukuran 5 inci). Lobster dewasa pula mengalami moulting apabila melakukan 2-3 kali persenyawaan.

Dalam proses moulting ini, terdapat dua jenis hormon yang diketahui akan terhasil, iaitu;

i) Hormon Ecdysis
ii) Hormon MIH (Molt Inhibiting Hormone)


Perlakuan Dan Tindakan Sebelum Moulting

Daripada pemerhatian yang dilakukan, lobster air tawar yang akan melakukan moulting akan memperlihatkan perkara-perkara berikut:

i) 2-3 jam sebelum moulting, lobster cenderung mengasingkan diri di sudut aquarium di luar perumah mereka (paip PVC)

ii) tidak bertenaga atau dalam keadaan lemah dan tidak mahu makan

iii) perubahan kepada warna kulit iaitu kelihatan lebih cerah

iv) segera asingkan lobster dalam mana-mana bekas yang sesuai yang mempunyai ruang untuk memudahkan proses moulting ini berlaku; pengasingan ini dapat mengelakkan berlakunya karnibalisme yang boleh menyebabkan kematian atau kecacatan

v) kulit pada bahagian kepala mula menggelupas dan terpisah daripada kepala

vi) dalam beberapa minit, kepala akan mula keluar di antara kulit kepala lama dan abdomen kemudian diikuti pula oleh seluruh bahagian badan yang lain

vii) setelah berjaya melakukan moulting, lobster air tawar ini kelihatan seperti dalam keadaan pengsan dan mula bergerak tetapi dalam keadaan yang lemah kerana kulit baru yang terbentukmasih lembut.



Tindakan Selepas Proses Moulting

Sebaik sahaja selesainya proses moulting, bekas yang digunakan untuk pengasingan tadi bolehlah diletakkan dalam aquarium yang sama atau lepaskan saja lobster tersebut dalam sebuah aquarium kosong yang lain.

Setelah 24 jam, lobster ini bolehlah diletakkan kembali bersama-sama lobster kumpulannya memandangkan dalam tempoh tersebut pembentukan kulit baru telah keras serta lobster tadi telahpun pulih daripada keadaan lemah.

Saturday, September 19, 2009

Fadzil Ternak Udang Karang Di Darat

Fadzil Ternak Udang Karang Di Darat
Dipetik dari Utusan Malaysia
Jumaat 14 Ogos 2009

KOTA BHARU 13 Ogos - Udang karang bukan sahaja terdapat di laut tetapi juga di perairan air tawar dan usaha menternaknya secara komersial di luar habitatnya masih baru di negeri ini.


Udang bersaiz besar ini sangat digemari, namun dengan harganya yang tinggi, ia tidak begitu banyak dipasarkan dalam negeri. Udang karang air tawar dikatakan memiliki rasa yang lebih lazat berbanding dengan udang karang air laut malah ia dikatakan mempunyai kandungan lemak, kolestrol dan garam yang rendah dan boleh dimakan semua golongan.

Pengarah Urusan Fast Aquafarming (M) Sdn Bhd, Muhamad Fadzil Md. Sulong, 52, adalah antara pihak yang berusaha mengkomersialkan ternakan udang air tawar ini.

Beliau mengetengahkan usahanya untuk menarik penglibatan lebih ramai usahawan ketika ditemui di tapak pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kelantan baru-baru ini.


Beliau memilih baka udang besar bersepit dengan jalur merah atas kepala yang berasal dari Australia yang tidak mengandungi kolesterol dan 70 peratus beratnya terdiri daripada isi semata-mata.


"Sesebuah kanvas mampu menampung hingga 1,000 ekor benih udang karang dari jenis charex quadricarinatus. "Sebuah kanvas hanya memerlukan tapak tidak sampai 19 meter persegi dan benih udang dalam kanvas itu boleh membesar antara 85 hingga 500 gram untuk dipasarkan selepas 4 bulan," katanya.

Muhamad Fadzil kini mempunyai 144 kanvas khusus bagi pembenihan udang di tapak seluas setengah hektar di Kampung. Budi, Bachok dahulunya adalah seorang inspektor kesihatan di Pejabat Kesihatan Kota Bharu sebelum berhenti pads tahun 1995.

Walaupun beliau sudah memiliki berapa syarikat perniagaan sendiri seperti sebuah syarikat perkakasan paip di bandar ini, minatnya kepada haiwan mencetuskan idea untuk meluaskan cabang perniagaan katanya.

Hasil tinjauannya, Muhamad Fadzil tertarik dengan penternakan udang karang dan menimba pengalaman seminggu di Jakarta pada pertengahan 2007.

"Saya pergi ke pusat penternakan utama di situ, tetapi saya tidak puas dengan apa yang ditimbanya. Orang di sana memberitahu saya udang karang yang diperolehi berasal dari Australia.

"Jadi dengan pertolongan sepupu saya di Australia saya berusaha mencari pakar rujuk yang boleh mengajar saya di sana,” katanya.

Beberapa bulan selepas itu, Muhamad akhirnya berjumpa dengan salah seorang pemilik ladang, Peter Robinson, 65, yang mengurus ladang 'Charax Park' seluas 18 hektar dengan 42 buah kolam di Terbine, Queensland, berbesar hati menerimanya kerana melihat kesungguhan seorang usahawan seperti Muhamad Fadzil mahu belajar dari bawah.

"Selama tiga bulan saya bekerja 11 jam sehari, empat hingga lima kali seminggu demi mengetahui segala-galanya dari A sampai Z cerita Muhamad Fadzil.


Beliau membuat segala-galanya dari membersih kolam kepada mengacuk benih hinggalah proses pemilihan udang karang mengikut grednya.

"Saya kena bersungguh-sungguh. Macam orang putih kata work to rule bekerja untuk jadi orang yang berkuasa. Saya tidak kisah disuruh buat bermacam perkara seperti kuli kerana ilmu itu yang penting untuk kita; katanya yang pulang sebulan sekali ke Malaysia dalam tempoh ‘pengajiannya’ di Queensland.

Segala kosnya di sana dibiayai sendiri dan beliau memperuntukkan lebih kurang RM50,000 untuk benih induk dan teknologi yang dibawa pulang ke Malaysia.

“Akan tetapi saya buat pembaharuan sedildt daripada teknologi yang sedia ada. Jika Peter masih lagi menggunakan kaedah mengorek tanah untuk dibina kolam yang kemudiannya dilapik dengan bahan Highensity Polyethelene-Sheet, saya hanya menggunakan kanvas untuk dijadikan kolam ternakan atas darat" kata pemegang Diploma Kesihatan dari Royal Society of Health, London ini.

Setakat ini syarikatnya sedang menyelia lima projek penternakan udang dalam kanvas di Kelantan dan sembilan lagi di Pulau Pinang. Saya pasarkan udang segar yang dibeli daripada dua penternak di Pulau Pinang kepada pengusaha restoran.

Apabila tuaian pertama kanvas dari Kelantan dapat dipungut daripada penternak secara besar-besaran pertengahan bulan ini, ia akan diproses untuk dipasarkan ke pasar raya besar pula,” katanya.

Tuesday, August 18, 2009

Ciri-Ciri Lobster Air Tawar

1) Habitat dan Taburan

Lobster air tawar atau Freshwater Crayfish juga dikenali sebagai crayfish, crawfish atau crawdad. Lobster air tawar ini boleh dikategorikan kepada tiga keluarga besar iaitu:

i) Astacidae
ii) Cambaridae
iii) Parastacidae

Berdasarkan kepada taburannya, keluarga Astacidae dan Cambaridae tersebar di sebelah utara dunia. Keluarga Astacidae banyak ditemui di persisir barat Rocky Mountain di barat laut Amerika Syarikat hingga ke Colombia, Kanada, dan Eropah. Manakala keluarga Cambaridae banyak ditemui di bahagian timur Amerika Syarikat dan bahagian selatan Mexico. Keluarga Parastacidae pula banyak ditemui di perairan Australia, Amerika Selatan dan Madagascar.

2) Lobster air tawar memiliki ciri-ciri morfologi tubuh yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu bahagian depan yang terdiri daripada kepala-dada (chepalothorax), bahagian badan (abdomen) dan bahagian ekor (telson).

Kepala-dada:

Bahagian kepala-dada lobster air tawar dapat dibahagikan kepada enam bahagian ruas yang dilindungi oleh cengkerang kepala (carapace). Pada bahagian pertama terdapat sepasang mata. Ruas kedua dan ketiga terdapat sepasang sesunggut kecil (antennula) dan sesunggut besar (antena). Bahagian ruas keempat, kelima dan keenam terdapat rahang (mandibula) yang berfungsi sebagai anggota makanan.


Bahagian kepala-dada juga terdapat lima pasang kaki (periopoda). Kaki pertama, kedua dan ketiga berfungsi sebagai sepit (chela). Sepit pertama berfungsi sebagai senjata untuk melawan musuh serta digunakan untuk menangkap mangsa yang bergerak lebih pantas. Sepit kedua dan ketiga berfungsi untuk menyuap makanan ke mulut. Manakala kaki keempat dan kelima berfungsi untuk berjalan (walking legs).

Abdomen:


Abdomen merupakan bahagian tubuh antara kepala-dada (chepalothorax) dan bahagian ekor (telson). Ia terdiri daripada lima bahagian dan dilindungi oleh kulit keras. Di bahagian bawah abdomen terdapat kaki renang (pleopoda) iaitu selaput tipis dan masing-masing terdiri daripada tiga ruas.


Selain berfungsi untuk berenang, kaki renang ini juga berfungsi sebagai tempat menyimpan telur.

Telson:

Bahagian telson terdiri daripada dua bahagian iaitu satu helai telson (ekor tengah) dan empat helai kipas (uropod) – ekor samping. Keseluruhan telson berfungsi untuk berenang atau bergerak. Dalam keadaan terdesak, lobster air tawar bergerak secara mengundur dengan pantas dengan membengkokkan abdomen dan telson secara pantas ke arah periopoda.

Sunday, August 9, 2009

Prospek Perniagaan

Sejauh manakah penternakan lobster air tawar memberi peluang perniagaan kepada masyarakat atau individu? Bagaimana nak mula? Perlukan menyediakan medium penternakan yang luas sebagai mana penternakan udang harimau atau udang galah? Di mana pula nak dapatkan anak benih lobster?

Inilah antara persoalan-persoalan yang timbul dalam fikiran individu-individu yang berminat dalam mengusahakan penternakan lobster air tawar. Malah lebih merumitkan lagi, kurangnya website atau blog yang khusus dalam penternakan lobster air tawar ini. Bagi saya, perkara ini tidaklah menghairankan memandangkan penternakan lobster air tawar ini merupakan perkara baru di negara ini. Bahkan ada di antara rakan-rakan saya sendiri pun tidak tahu adanya lobster air tawar! Ada juga yang maklum sekadar mengetahui melalui media cetak mahupun elektronik. Tidak seperti di Indonesia, penternakan lobster ait tawar telah lama bertapak, malah ada yang telah berjaya memasarkannya ke luar negara. Lebih menarik lagi, kejayaan tersebut hanya bermula sekadar hobi sahaja iaitu menternak sebagai hiasan akuarium di rumah.

Berbalik pada persoalan di atas, ternyata bahawa penternakan lobster air tawar ini dapat mendatangkan pendapatan yang lumayan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh. Ini ditambah lagi bahawa penternakan lobster air tawar ini masih baru di Malaysia. Secara umumnya, pasaran lobster air tawar dapat dikategorikan kepada tiga bahagian, iaitu pasaran anak benih sebagai hiasan akuarium, induk (pembiakan) dan pasaran untuk bahan makanan sama ada hidup ataupun bahan mentah.


Saya telah memulakan penternakan lobster air tawar ini sejak tiga bulan yang lalu (gambar di atas). Ketika tu dahlah sukar mendapatkannya, malah harga seekor dijual dengan harga RM10.00. Malah ada juga individu yang menjual benih lebih mahal daripada harga yang saya dapat sehingga mencecah ribuan ringgit untuk satu set. Bayangkan jika anda membeli 10 ekor atau lebih untuk pembiakkan!

Sehingga kini, belum ada statistik yang menunjukkan permintaan lobster air tawar di negara ini. Walau bagaimanapun, daripada tinjauan yang saya buat melalui website mahupun blog, permintaan benih dan induk lobster air tawar daripada pelbagai negeri amat menggalakkan. Dikatakan juga pada awal tahun 2006, harga lobster air tawar mencapai RM30.00 sehingga RM40.00 sekilogram. Dalam sekilogram tu terdapat 8-12 ekor lobster air tawar. Harga ini setanding dengan harga pasaran udang galah, namun jika dibandingkan kaedah penternakan, lobster air tawar lebih mudah diusahakan dengan hanya bermula dalam akuarium untuk persenyawaan dan untuk pembesaran, ianya boleh diusahakan dalam kolam tanah, simen mahupun dalam tangki atau fiberglass melalui kaedah Extreme Density Unit (EDU).Kaedah penternakan tersebut akan dibincangkan kemudian. Sekurang-kurangnya, bakal penternak lobster air tawar tidaklah bimbang dalam soal mencari kawasan penternakan yang luas!



Pengenalan


Umumnya terdapat banyak jenis lobster atau udang air tawar. Namun demikian, jenis Cherax quadricarinatus atau lebih dikenali sebagai Red Claw merupakan spesis yang banyak diternak untuk tujuan komersil.

Walaupun Red Claw yang dipercayai berasal daripada Queensland, Australia, namun kesesuaian iklim di Malaysia membolehkannya hidup dalam perbagai habitat. Tidak seperti penternakan udang-udang yang lain, lobster air tawar boleh diternak di dalam kolam tanah, kolam simen atau tangki melalui kaedah Extreme Density Unit (EDU).

Tempoh penternakan lobster air tawar ini pula cuma mengambil masa 7-8 bulan sebelum ianya sesuai untuk dipasarkan. Secara purata, dalam tempoh tersebut seekor lobster boleh mencapai 5-6 inci panjang atau 8-12 ekor dalam sekilogram. Namun demikian, lobster air tawar terutamanya Red Claw dapat membiak 4-5 kali dalam setahun dan telur yang dihasilkan dalam sekali persenyawaan boleh mencapai 100-200 biji telur. Setelah berumur lebih setahun, lobster air tawar boleh menghasilkan telur sebanyak 600-1000 biji.