Wednesday, September 23, 2009

Penggantian Kulit (Moulting)


Penggantian kulit (moulting) merupakan satu proses menukar kulit yang lama dengan menggantikan kulit yang baru bertujuan untuk tumbesaran.


Kenapa Berlakunya Moulting?


Memandangkan kulit yang menyelaputi tubuh lobster air tawar keras dan tidak bersifat elastic, adalah wajar kulit-kulit ini digantikan dengan kulit yang baru agar tumbesaran lobster dapat dan terus berlaku.

Di samping itu, penggantian kulit juga dapat menggantikan bahagian tubuh lobster yang telah rosak atau patah seperti sepit dan kaki.

Bila Berlakunya Moulting?

Lobster air tawar yang muda mengalami moulting yang kerap berbanding dengan lobster dewasa. Proses moulting terjadi ketika lobster berumur 1-2 minggu dan berlaku sebelum lobster muda ini menjadi lobster dewasa (ukuran 5 inci). Lobster dewasa pula mengalami moulting apabila melakukan 2-3 kali persenyawaan.

Dalam proses moulting ini, terdapat dua jenis hormon yang diketahui akan terhasil, iaitu;

i) Hormon Ecdysis
ii) Hormon MIH (Molt Inhibiting Hormone)


Perlakuan Dan Tindakan Sebelum Moulting

Daripada pemerhatian yang dilakukan, lobster air tawar yang akan melakukan moulting akan memperlihatkan perkara-perkara berikut:

i) 2-3 jam sebelum moulting, lobster cenderung mengasingkan diri di sudut aquarium di luar perumah mereka (paip PVC)

ii) tidak bertenaga atau dalam keadaan lemah dan tidak mahu makan

iii) perubahan kepada warna kulit iaitu kelihatan lebih cerah

iv) segera asingkan lobster dalam mana-mana bekas yang sesuai yang mempunyai ruang untuk memudahkan proses moulting ini berlaku; pengasingan ini dapat mengelakkan berlakunya karnibalisme yang boleh menyebabkan kematian atau kecacatan

v) kulit pada bahagian kepala mula menggelupas dan terpisah daripada kepala

vi) dalam beberapa minit, kepala akan mula keluar di antara kulit kepala lama dan abdomen kemudian diikuti pula oleh seluruh bahagian badan yang lain

vii) setelah berjaya melakukan moulting, lobster air tawar ini kelihatan seperti dalam keadaan pengsan dan mula bergerak tetapi dalam keadaan yang lemah kerana kulit baru yang terbentukmasih lembut.



Tindakan Selepas Proses Moulting

Sebaik sahaja selesainya proses moulting, bekas yang digunakan untuk pengasingan tadi bolehlah diletakkan dalam aquarium yang sama atau lepaskan saja lobster tersebut dalam sebuah aquarium kosong yang lain.

Setelah 24 jam, lobster ini bolehlah diletakkan kembali bersama-sama lobster kumpulannya memandangkan dalam tempoh tersebut pembentukan kulit baru telah keras serta lobster tadi telahpun pulih daripada keadaan lemah.

No comments:

Post a Comment