Tuesday, August 18, 2009

Ciri-Ciri Lobster Air Tawar

1) Habitat dan Taburan

Lobster air tawar atau Freshwater Crayfish juga dikenali sebagai crayfish, crawfish atau crawdad. Lobster air tawar ini boleh dikategorikan kepada tiga keluarga besar iaitu:

i) Astacidae
ii) Cambaridae
iii) Parastacidae

Berdasarkan kepada taburannya, keluarga Astacidae dan Cambaridae tersebar di sebelah utara dunia. Keluarga Astacidae banyak ditemui di persisir barat Rocky Mountain di barat laut Amerika Syarikat hingga ke Colombia, Kanada, dan Eropah. Manakala keluarga Cambaridae banyak ditemui di bahagian timur Amerika Syarikat dan bahagian selatan Mexico. Keluarga Parastacidae pula banyak ditemui di perairan Australia, Amerika Selatan dan Madagascar.

2) Lobster air tawar memiliki ciri-ciri morfologi tubuh yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu bahagian depan yang terdiri daripada kepala-dada (chepalothorax), bahagian badan (abdomen) dan bahagian ekor (telson).

Kepala-dada:

Bahagian kepala-dada lobster air tawar dapat dibahagikan kepada enam bahagian ruas yang dilindungi oleh cengkerang kepala (carapace). Pada bahagian pertama terdapat sepasang mata. Ruas kedua dan ketiga terdapat sepasang sesunggut kecil (antennula) dan sesunggut besar (antena). Bahagian ruas keempat, kelima dan keenam terdapat rahang (mandibula) yang berfungsi sebagai anggota makanan.


Bahagian kepala-dada juga terdapat lima pasang kaki (periopoda). Kaki pertama, kedua dan ketiga berfungsi sebagai sepit (chela). Sepit pertama berfungsi sebagai senjata untuk melawan musuh serta digunakan untuk menangkap mangsa yang bergerak lebih pantas. Sepit kedua dan ketiga berfungsi untuk menyuap makanan ke mulut. Manakala kaki keempat dan kelima berfungsi untuk berjalan (walking legs).

Abdomen:


Abdomen merupakan bahagian tubuh antara kepala-dada (chepalothorax) dan bahagian ekor (telson). Ia terdiri daripada lima bahagian dan dilindungi oleh kulit keras. Di bahagian bawah abdomen terdapat kaki renang (pleopoda) iaitu selaput tipis dan masing-masing terdiri daripada tiga ruas.


Selain berfungsi untuk berenang, kaki renang ini juga berfungsi sebagai tempat menyimpan telur.

Telson:

Bahagian telson terdiri daripada dua bahagian iaitu satu helai telson (ekor tengah) dan empat helai kipas (uropod) – ekor samping. Keseluruhan telson berfungsi untuk berenang atau bergerak. Dalam keadaan terdesak, lobster air tawar bergerak secara mengundur dengan pantas dengan membengkokkan abdomen dan telson secara pantas ke arah periopoda.

1 comment:

  1. selamat berjaya dalam perniagaan ini ckg dan t.kasih kerana buat blog ini untuk tatapan semua semoga kita berjaya masa akan datang... selamat berpuasa dan selamat menyambut hari raya ......

    ReplyDelete