Sunday, August 9, 2009

Prospek Perniagaan

Sejauh manakah penternakan lobster air tawar memberi peluang perniagaan kepada masyarakat atau individu? Bagaimana nak mula? Perlukan menyediakan medium penternakan yang luas sebagai mana penternakan udang harimau atau udang galah? Di mana pula nak dapatkan anak benih lobster?

Inilah antara persoalan-persoalan yang timbul dalam fikiran individu-individu yang berminat dalam mengusahakan penternakan lobster air tawar. Malah lebih merumitkan lagi, kurangnya website atau blog yang khusus dalam penternakan lobster air tawar ini. Bagi saya, perkara ini tidaklah menghairankan memandangkan penternakan lobster air tawar ini merupakan perkara baru di negara ini. Bahkan ada di antara rakan-rakan saya sendiri pun tidak tahu adanya lobster air tawar! Ada juga yang maklum sekadar mengetahui melalui media cetak mahupun elektronik. Tidak seperti di Indonesia, penternakan lobster ait tawar telah lama bertapak, malah ada yang telah berjaya memasarkannya ke luar negara. Lebih menarik lagi, kejayaan tersebut hanya bermula sekadar hobi sahaja iaitu menternak sebagai hiasan akuarium di rumah.

Berbalik pada persoalan di atas, ternyata bahawa penternakan lobster air tawar ini dapat mendatangkan pendapatan yang lumayan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh. Ini ditambah lagi bahawa penternakan lobster air tawar ini masih baru di Malaysia. Secara umumnya, pasaran lobster air tawar dapat dikategorikan kepada tiga bahagian, iaitu pasaran anak benih sebagai hiasan akuarium, induk (pembiakan) dan pasaran untuk bahan makanan sama ada hidup ataupun bahan mentah.


Saya telah memulakan penternakan lobster air tawar ini sejak tiga bulan yang lalu (gambar di atas). Ketika tu dahlah sukar mendapatkannya, malah harga seekor dijual dengan harga RM10.00. Malah ada juga individu yang menjual benih lebih mahal daripada harga yang saya dapat sehingga mencecah ribuan ringgit untuk satu set. Bayangkan jika anda membeli 10 ekor atau lebih untuk pembiakkan!

Sehingga kini, belum ada statistik yang menunjukkan permintaan lobster air tawar di negara ini. Walau bagaimanapun, daripada tinjauan yang saya buat melalui website mahupun blog, permintaan benih dan induk lobster air tawar daripada pelbagai negeri amat menggalakkan. Dikatakan juga pada awal tahun 2006, harga lobster air tawar mencapai RM30.00 sehingga RM40.00 sekilogram. Dalam sekilogram tu terdapat 8-12 ekor lobster air tawar. Harga ini setanding dengan harga pasaran udang galah, namun jika dibandingkan kaedah penternakan, lobster air tawar lebih mudah diusahakan dengan hanya bermula dalam akuarium untuk persenyawaan dan untuk pembesaran, ianya boleh diusahakan dalam kolam tanah, simen mahupun dalam tangki atau fiberglass melalui kaedah Extreme Density Unit (EDU).Kaedah penternakan tersebut akan dibincangkan kemudian. Sekurang-kurangnya, bakal penternak lobster air tawar tidaklah bimbang dalam soal mencari kawasan penternakan yang luas!



No comments:

Post a Comment